Monday, November 19, 2012

Kenali Palestin Siri 3

tulisan : Q Anwar Khalib


APAKAH KEADAAN YANG SEBENAR

Media gemar menggambarkan situasi di Palestin sebagai 'Konflik', 'Permasalahan Dalaman', 'Masalah Antara Agama' dan sebagainya. Tetapi jarang yang menyatakan kebenaran yang sebenarnya sanggat mudah difahami. Ia adalah satu PENJAJAHAN. Negara Haram Israel selaku penjajah dan Palestin selaku yang dijajah. Mana mungkin penjajah (yang juga kuasa ketenteraan ke-4 terbesar di dunia) digambarkan sebagai 'mempertahankan diri' apabila mangsa jajahan mereka berjuang menuntut KEMERDEKAAN!

Dari sisi-pandang yang lain pula, apabila direnungi akan keistimewaan dan kepentingan Palestin pada kacamata Islam dan peranan yang telah dimainkannya sepanjang sejarah Islam, konflik ini sebenarnya adalah konflik ketamadunan yang berlangsung di antara dua pihak; di satu pihak, Tamadun Islam dengan perundangan Rabbaninya dan tanggungjawab membentuk sistem kemasyarakatan yang penuh dengan keadilan dan kebebasan di muka bumi ini sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah SWT; dan di satu pihak lagi, Tamadun Barat dengan budaya materialisme, pendewaan keturunan dan negara, malah juga penafian akan kebesaran Allah SWT. Malah pada tahun 1918, selepas memasuki kawasan Masjidil Aqsa, General Allenby selaku pemerintah Kuasa Bersekutu mengisytiharkan, "Pada hari ini, Perang Salib akhirnya tamat!"

Kewujudan sebuah 'Negara Zionis' di tengah-tengah dunia Islam dan penaklukan Masjidil-Aqsa adalah simbolik kelemahan Ummah Islam dan juga sikap orang-orang Islam yang menyimpang dari landasan Islam sambil mendabik dada dengan ideologi-ideologi asing lagi syirik yang ditanamkan oleh musuh-musuh Islam. Masjidil-Aqsa, Baitul-Maqdis dan bumi Palestin yang suci ini bukannya kepunyaan orang-orang Palestin atau Arab sahaja tetapi adalah hak setiap orang Islam. Hanya apabila umat Islam kembali kepada Islam dan melihat konflik ini dalam ertikatanya yang sebenar, bumi bertuah ini akan kembali dibebaskan sepertimana yang telah dilakukan pada kurun yang ke-12 oleh Salahuddin Al-Ayubi. Walaupun beliau bukan seorang Arab, akan tetapi beliau faham akan tanggungjawabnya dalam menangani persengketaan ketamadunan di antara Islam dan Barat, di antara Iman dan Kufur.

Umat Islam perlu merenungi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Rasulullah SAW juga menyuruh umatnya untuk sentiasa berada dalam keadaan membela saudara muslimnya dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Tidak ada seorang Muslim yang membiarkan saudara muslimnya ketika maruahnya dicerobohi dan kehormatannya dicela melainkan Allah SWT akan membiarkannya (tidak menolong) ketika dia memerlukan pertolongan.” - Hadis riwayat Imam Abu Daud

"Wahai para pejuang Ummah ini, jangan kamu sekali-kali lupa, sejak lebih 800 tahun yang lalu, Palestin dan Baitul-Maqdis berada di bawah kekuasaan hamba-hamba Allah SWT yang beriman selama lebih 700 tahun dan bumi suci ini baru berada di tangan Zionis hanya sejak kurang 100 tahun yang lalu. Salahuddin Al-Ayubi telah mengambil kembali bumi bertuah ini setelah dijajah hanya selama 88 tahun. Cuma ingatlah, wahai para pejuang, Salahuddin Al-Ayubi menghabiskan hidup beliau di medan Jihad. Di mana 'jihad' kita?"

No comments:

Post a Comment