Monday, November 19, 2012

Kenali Palestin Siri 2

PALESTIN DI DALAM SEJARAH ISLAM

tulisan : Q Anwar Khalib


Sejarah Palestin menyingkap sejarah Islam sejak dari Rasul yang pertama lagi, Adam AS, hinggalah Rasul yang terakhir, Muhammad SAW. Palestin adalah bumi para Rasul yang diutuskan dengan ajaran Islam (mentauhidkan Allah) dan tidaklah wajar untuknya diperintah oleh sesiapa melainkan mereka yang menegakkan Islam dengan melaksanakan perundangan dan perlembagaannya.

Masjidil-Aqsa adalah masjid yang kedua ditegakkan di muka bumi 40 tahun selepas tertegaknya Masjidil-Haram. Ia adalah bumi yang suci di mana ramai daripada para Rasul AS dilahirkan dan wafat, termasuklah Ibrahim AS, Lut AS, Daud AS, Sulaiman AS, Musa As dan Isa AS. Biarpun Daud AS dan Sulaiman AS telah berjaya menegakkan kerajaan Islam di Palestin berasaskan perundangan yang ditetapkan oleh Allah SWT, seperti yang dinyatakan di dalam Al-Qur'an, keturunan mereka telah menyimpang daripada jalan-Nya yang lurus itu, melanggar segala hukuman yang ditetapkan oleh Allah SWT lantas mereka telah dihukum oleh Allah SWT dengan pelbagai hukuman termasuklah dinyahkan dari bumi suci itu. Baitul-Maqdis adalah qiblat pertama umat Islam dan juga merupakan tempat Isra' dan Mi'raj Rasulullah SAW.

Palestin kembali di bawah kekuasaan umat Islam pada zaman pemerintahan Umar ibn al-Khattab, Khalifah kedua umat Islam. Palestin lantas dijadikan sebahagian dari Negara Islam dan melaksanakan perundangan Islam. Perundangan yang baru ini diterima baik dan disokongi oleh bukan sahaja umat Islam, tetapi juga oleh orang-orang Yahudi dan Kristian yang tinggal di Palestin. Sebelum kemenangan Islam, mereka berada di bawah pemerintahan kuku besi kerajaan Byzantine. Kerajaan Kristian Byzantine juga menindas penduduk orang-orang Kristian di situ kerana mereka berlainan aliran. Kerajaan Islam bagaimanapun, menjanjikan keadilan kepada semua penduduk tanpa mengira agama dan aliran kefahaman.

1099 Masihi. BaitulMaqdis ditakluki oleh tentera Salib Eropah dan puluhan ribu penduduk BaitulMaqdis dibunuh selepas penaklukan. BaitulMaqdis dijajah selama hampir satu abad. Ketika penjajahan tersebut, pembunuhan beramai-ramai dan penindasan yang dahsyat dikenakan ke atas umat Islam, penduduk Yahudi dan penduduk Kristian asal di situ. Perundangan yang dilaksanakan di bumi suci itu penuh dengan kekerasan dan penindasan.

1187 Masihi. BaitulMaqdis dibebaskan oleh umat Islam di bawah pimpinan Salahuddin Al-Ayubi dan perundangan Islam sekali lagi dilaksanakan di bumi Palestin. Penduduk bukan Islam di Palestin tidak diapa-apakan, dan setelah membayar tebusan, diberi pilihan untuk hidup di bawah pemerintahan Islam ataupun keluar meninggalkan BaitulMaqdis. Mereka yang tinggal di BaitulMaqdis pula dibenarkan hidup dan beribadat seperti biasa di bawah pemerintahan Islam. Catatan sejarah jelas membezakan perlakuan tentera Salib dengan tentara Islam semasa masing-masing berjaya menakluki BaitulMaqdis pada 1099 dan 1187.

1901. Tokoh-tokoh Zionis cuba meyakinkan Sultan Abdul Hamid ke-2, Khalifah Umat Islam agar 'menjual' Palestin kepada mereka dengan tawaran kewangan yang hebat. Sultan Abdul Hamid langsung tidak mahu bertemu dengan mereka dan sebanyak dua kali memberikan jawapan-jawapan berikut.

"Baitul-Maqdis menjadi sebahagian dari Bumi Islam ketika Umar ibn Al-Khattab mengambil kota itu dan aku tidak akan sekali-kali menghina diriku dalam sejarah dengan menjual bumi suci ini kepada Yahudi dan aku tidak akan menodai tanggung-jawab dan amanah yang diberikan oleh ummah ini kepadaku. Biarlah mereka menyimpan wang mereka, umat Islam Uthmaniyyah tidak akan bersembunyi di dalam kota-kota yang dibina dengan wang musuh-musuh Islam." - Jawapan kepada seorang pemilik Bank Yahudi, Mizray Qraow dan 2 lagi pemimpin Yahudi.

"Aku tidak boleh memberikan walau segenggam dari tanah ini kerana ia bukan milikku, ia hak Ummah Islam seluruhnya. Ummah Islam yang telah berjihad demi bumi ini dan mereka telah membasahinya dengan darah-darah mereka. Sekiranya Khilafah Islam ini dimusnahkan pada suatu hari, mereka boleh mengambil Palestin tanpa bayaran! Tetapi selagi aku masih hidup, aku lebih rela sebilah pedang merobek tubuhku daripada melihat bumi Palestin dipecah dan diberikan keluar dari Negara Islam. Penjualan Palestin adalah sesuatu yang tidak akan berlaku, aku tidak akan memotong-motong tubuh kami selagik ami masih hidup.“ - Jawapan kepada Theodor Herzl.

1916. Nasionalis Arab yang terpengaruh dengan pemikiran Barat mengumumkan pemberontakan terhadap Khalifah Islam Uthmaniyyah atas hasutan British yang menjanjikan mereka negara-negara 'Arab' bagi menggantikan Negara 'Islam'. Dasar Pecah dan Perintah British terlaksana dengan jayanya.

1917. Kerajaan British mengeluarkan Deklarasi Balfour yang mengumumkan bahawa Palestin adalah tanahair bangsa Yahudi. Pada ketika itu, jumlah penduduk Yahudi hanyalah kira-kira 6% daripada keseluruhan penduduk Palestin dan mereka memiliki hanya kira-kira 2.5% dari keseluruhan tanah Palestin.

1918. Tamatnya Perang Dunia Pertama. Kerajaan British dan sekutu-sekutu mereka dari kalangan nasionalis Arab menjatuhkan Kerajaan Islam Uthmaniyyah. British membahagikan Empayar Islam Uthmaniyyah dan menduduki Palestin. British kemudiannya terus memulakan kempen membawa masuk bangsa Yahudi dari Eropah ke Palestin.

1948. Bangsa Yahudi mahukan penubuhan sebuah negara untuk mereka di bumi Palestin dan menamakannya Israel. Beratus ribu umat Islam Palestin dihalau keluar dari Palestin dengan tekanan ketenteraan kumpulan-kumpulan pengganas Yahudi seperti Irgun, Levi dan Haganah yang dibiayai dan diberi kelengkapan senjata oleh tentera British. Peristiwa Al-Nakbah. Zionis diberi 54% keluasan tanah Palestin dan Umat Islam 46% selebihnya

1967. Israel menyerang Mesir, Jordan dan Syria serta menduduki lebih banyak kawasan di Palestin termasuklah (77%), buat kali pertamanya, Masjidil-Aqsa. Semenjak hari tersebut, Bumi Palestin terjajah dan Masjidil-Aqsa telah cuba dihancurkan oleh mereka dengan cubaan meroboh dan membakarnya. Malah beberapa cubaan untuk meruntuhkannya menerusi terowong-terowong bawah tanah juga telah dilaksanakan. Bangsa Yahudi Zionis tahu bahawa Masjidil-Aqsa adalah lambang keislaman bumi Palestin dan mereka mahu menghilangkan segala kesan tamadun Islam dari Palestin.

1987-1991. Umat Islam Palestin memulakan kebangkitan (Intifada) di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza menentang penjajahan Yahudi yang berterusan itu. Intifada terus hidup dan bertambah kuat. Walaupun menghadapi ribuan kematian (Shuhada', Insha-Allah) dan kecederaan, umat Islam Palestin tetap cekal memperjuangkan hak dan maruah mereka.

2000-2004 - Intifada ke-2 (Intifada Al-Aqsa)
Selepas pelbagai 'rundingan damai', Israel mencabuli kesucian Al-Aqsa dan ini mencetus kebangkitan umat Islam Palestin. Perkataan 'Intifada' mula digantikan oleh media-media dunia yang dikawal oleh Zionis kepada 'Keganasan/Teorrism'. Maka satu perjuangan oleh anak bumi yang dijajah menentang penjajah yang berterusan menjajah dan bertindak kejam di luar batasan kemanusiaan kini dilabel oleh dunia sebagai tindakan pengganas.

2004 - Bermulanya pembinaan Tembok Apartheid yang diisytiharkan HARAM/TIDAK SAH oleh 'International Court of Justice'. Tembok ini meneruskan agenda pengambilan tanah-tanah umat Islam Palestin yang dijajah untuk membina penempatan-penempatan haram untuk penghijrah Zionis ke Palestin.

2006 - HAMAS memenangi majority pilihanraya di Gaza. Lantas kuasa-kuasa demokrasi dunia MENOLAK demokrasi dan hak rakyat untuk bersuara. Segala saluran kewangan (bantuan dan pendapatan) ke Gaza dibekukan. Gaza dikenakan sekatan ekonomi sehinggakan keperluan-keperluan asas seperti ubat-ubatan, makanan dan bahan binaan tidak lagi didapati seperti biasa. HAMAS, selaku pemerintah, juga dihalang mempertahankan rakyatnya dan setiap tindakan dilabel sebagai tindakan pengganas.

2008 - Gaza diserang dan berlaku pembunuhan beramai-ramai umat Islam Gaza (lebih 1400 orang). Media dunia menyatakan ini satu tindakan 'membela diri'. Selepas genjatan senjata selama 6 bulan, tentera Israel menceroboh sempadan Gaza dan membunuh 6 orang rakyat Palestin. Pemerintah Gaza yang mempertahankan rakyatnya akibat pencerobohan dan pembunuhan Zionis tersebut dikatakan bertindak sebagai pengganas lantas Gaza dan penduduknya dibedil dari darat, laut dan udara.

2010 - Flotila Pembebasan Gaza (Mavi Marmara) yang membawa keperluan-keperluan asas secara aman ke Gaza melalui jalan laut diserang oleh komando-komando Zionis menyebabkan 9 kematian.

2012 - Sekali lagi Gaza diserang......jumlah kematian umat Islam Palestin terkini, 67 orang (maaf 71 orang sejak 3 jam lalu) dan lebih 50% adalah wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua. Anak-anak seusia 11 bulan menjadi sasaran Negara Haram Pengganas ini.

No comments:

Post a Comment