Monday, October 15, 2012

kenapa aku masih sendiri?

bismillahirrahmanirrahim...

alhamdulillah, walaupun cu diduga dengan kesihatan yang tidak menentu, namun Allah masih memberi kesempatan untuk cu melewati detik-detik hidup ini dengan ingatan, ibrah daripada Allah. bercakap soal jodoh, ya, soalan yang sangat popular dalam kalangan remaja. malah, ia menjadi satu topik hangat di kampus cu. ya, memang tak salah untuk membincangkannya, cuma yang cu nampak, kita telah terlebih 'peka' dan 'berbincang mengenai isu jodoh ini melebihi isu-isu lain contohnya, isu syria, palestine, gejala sosial dan pendidikan. huuu...haru dunia kalu berterusan tu sahabat. sampaikan, yang tiada calon lagi mula melontarkan berbagai soalan sehingga menjadikan mereka berada dalam sangkar yang mereka ciptakan sendiri, walhal mereka sebenarnya bebas! dan alhamdulillah, masa scroll down home fb, terjumpa 1 sharing yang sangat bermakna ni. moga bermakna buat semua sahabat juga. syukran ukhti Syuhada Ibrahim wa syukran Allah ^^...

"Ustaz, saya ni 'teruk' sangat ke sampai tak 'laku'? Kawan-kawan saya yang muka biasa-biasa macam tu pun ada teman lelaki." kata seseorang.

"Saya ni ada jerawat dua tiga ketul je ustaz, tu pun takde lelaki yang minat kat saya. Kawan saya yang jerawatnya berketul-ketul tu, ada pulak lelaki yang berkenan kat dia. Adil ke macam ni ustaz? Agaknya itulah yang dia nak cakap kot..." bisik hati saya pula...hehe..

Jujurnya, saya agak terkesima kerana tidak menyangka timbulnya fikiran sebegini sedangkan dia pelajar jurusan pengajian Islam. Saya selalu berhadapan dengan situasi ini walaupun saya bukanlah pakar yang layak berbicara mengenainya.

Jelas, wabak berteman lelaki atau perempuan kalangan remaja ini sudah tidak mengenal mangsa sehingga menimbulkan penyakit hati yang bukan senang untuk dirawat. Lihat sahaja posting remaja-remaja kita di FB masing-masing. Sudah terang lagi bersuluh. Allah al-Musta'an.

Saudara dan saudari,

1. Tiada teman lelaki atau perempuan bukanlah sesuatu yang mengaibkan, malah ia merupakan kemuliaan dan kehormatan. Bersyukurlah kepada Allah SWT kerana masih terpelihara daripada fitnah dan wabak yang dianggap biasa oleh ramai orang masa kini.

Disebut dalam sirah bahawa Allah SWT memelihara RasulNya ketika usia remaja daripada terjebak dengan kebiasaan yang dilakukan oleh pemuda pemudi jahiliah Makkah ketika itu. Satu pemeliharaan yang sangat besar ertinya kerana insan tersebut bakal menjadi makhluk termulia dan teristimewa.

2. Walaupun hubungan terlarang itu dijustifikasikan dengan pelbagai alasan termasuklah si dia bakal menjadi tunangan, suami atau isteri sekalipun, hubungan suci suami isteri yang kita harapkan diredhai Allah selamanya itu tidak patut dan tidak layak dicemari dengan karat dan kotoran yang boleh mengundang murkaNya.

3. Dalam hadis ada dinyatakan bahawa syaitan sudah berputus asa untuk menyesatkan umat nabi Muhammad SAW dengan cara fizikal yang nyata, tetapi makhluk itu akan sentiasa cuba memesong dan melalaikan kita dengan cara halus yang tidak disedari.

Wabak ber'couple' ini mungkin salah satu darinya. Bercouple dan bergaul bebas sudah dianggap perkara biasa dan normal. Yang tidak bercouple dan bergaul bebas dianggap kolot dan jumud. Neraca ini sudah tidak betul. Ia perlu kepada 'calibration'.

Justeru, yang masih dipelihara oleh Allah SWT daripada fitnah ini, bersyukur dan bergembiralah. Usah merendah diri dan bermuram durja. Berjalanlah dengan 'bangga' kerana diri masih terpelihara.


Tuesday, October 9, 2012

hikam cekguungu

" hanya apabila kita ikhlas dan berlapang dada dalam kehidupan, tanpa kita sedar, kita sebenarnya telah menyudahkan banyak perkara dengan mudah. tidak perlu menunggu orang memberi balasan, atau menanti balasan atau mengharap balasan, kerana dengan pengharapan sedemikian yang banyak memakan jiwa-jiwa yang merdeka dan menangguhkan banyak pekerjaan..
"

Monday, October 8, 2012

BUKAN KISAH GURU BIASA-BIASA




"cikgu...cikgu.... cikgu sibuk ke?"

Nurain kalih ke belakang. kelihatan cikgu Masnida sedang berlari-lari anak. cuba mengejar dia barangkali.

"eh, kak Mas. maaf saya tak perasan akak panggil saya dari tadi. tak sibuk sangat pun kak. kelas saya dah tak ada. kenapa kak Mas?" Nurain tersenyum.

"Assalammualaikum cikgu Nurain."

suara-suara comel murid-murid SKDABB menyapanya dengan memberi salam. memang diasuh sedemikian. murid-murid tersenyum lewat bertembung dengan cikgu Nurain. maklumlah, guru sandaran. muda dan baru. pastilah disukai murid-murid. sampaikan salam murid-murid tidak pula ditujukan kepada Cikgu Masnida yang tegak berdiri di hadapan cikgu Nurain. cikgu Nurain hanya mampu tergelak kecil dalam hati melihat keleteh murid-murid langsung mengabaikan kelibat cikgu Masnida.

"budak-budak ni, kalau kereta baru, cantik, mula lah berbaik-baik. kalau kereta lama macam kak ni, memang tak laku lah jawabnya." Cikgu Masnida juga perasan rupanya. ketawa mereka terburai jua di situ. adat dunia memang begitulah. padahal yang lama itulah, yang paling banyak manfaat yang akan diperoleh. sedang yang baru ini baru hendak bertatih. masih banyak kelengkapan yang belum cukup.

" hasratnya nak minta tolong dari cikgu. cikgu perasan tak ada papan 'softboard' yang baru diletakkan tu? di tepi makmal sains tu?" Cikgu Masnida bertanya sambil tangannya menunjuk arah papan 'softboard' itu diletakkan.

"oh, bangunan sebelah ni ye kak? perasan juga. tengok Pak Wahab letakkannya semalam. kenapa kak?"

"begini,kami bercadang nak letakkan hasil-hasil lukisan anak-anak murid kat situ. boleh tak cikgu buat pertandingan untuk kelas 3 Sina. minta mereka lukis dan hasil terbaik kita letakkan di sana"

"oh, boleh sangat tu kak. insya-Allah, esok saya akan usahakan. "
***

“Assalammualaikum Cikgu Nurain”

“waalaikummussalam. Baiklah, kita baca doa dulu”

Semua murid-murid menadah tangan dan membacakan doa beramai-ramai. Namun, masih ada yang sedang sibuk mencari buku, ada yang sedang berbisik dengan rakannya dan ada juga sebahagiannya membaca bersama, Cuma tangannya dihala ke bawah.

“aminnn”

Murid-murid memandang cikgu Nurain, mohon perintah seterusnya untuk duduk kembali di bangku. Cikgu Nurain hanya mendiamkan diri. Dipandang muridnya satu persatu. Marah mula mempalit diri.

“ berapa kali cikgu nak cakap dan pesan? Kan cikgu dah pesan awal-awal, kalau baca doa, baca betul-betul. Jaga adab masa berdoa. Awak nak meminta daripada Allah, kan? Tapi, masih tak beradab! Awak rasa Allah nak dengar tak doa awak semua ni?”

Cikgu Nurain menghambur lava amarahnya. Geram sungguh melihat tingkah anak-anak muridnya yang masih tidak mempedulikan pesanannya, walau sudah dimaklumi banyak kali. Pantang sekali baginya tidak beradab ketika berdoa. Doa itu untuk memohon sesuatu dari Allah. Sama jua seperti meminta makanan dari seseorang. Jika cara memintanya dengan kasar, tidak sopan atau memaksa, pastilah tidak dapat merasa keenakan makanan itu. Pasti sahaja permintaan itu ditolak. Begitulah jua jika memohon sesuatu dari Allah. Murid-murid mula menikus. Ada yang cuba menyalahkan rakan-rakan yang tidak berdoa dengan betul-betul tadi.

“ sekali lagi, dengan penuh tertib dan beradab, baca semula doa”

Malah, dia rela mengorbankan sedikit waktu p&p untuk memastikan murid-murid lebih beradab. Akhlak itu lebih diutamakannya, kerana dewasa ini, manusia cemerlang dalam penguasaan ilmu, namun, cetek dalam pembangunan sahsiah. Walaupun dia guru pendidikan seni, namun dirasakan tanggungjawab mendidik murid-murid itu tergalas juga di bahunya. Ia bukan taklifan untuk guru agama dan pendidikan moral sahaja, malahan semua guru berperanan. Ah, dia tahu, kalau dikomentar pada guru-guru lain, pasti dikecamnya dengan status dia sebagai guru baru yang pasti masih bersemangat, masih berwawasan dan bertenaga. Lama-kelamaan, pasti semangat membara ini akan pudar dan natijahnya, dia bakal mengikuti jejak langkah rata-rata guru yang hanya melakukan rutin harian guru biasa-biasa. Dia tahu, tapi, dia tidak mahu membuat tradisi yang sama. Tidak salah baginya memasang angan dan visi sedemikian. Mungkin sahaja dia bakal terjerumus, namun, dengan visi itu, dia mahu terus bangkit andai diuji nanti. Masa depan Negara, masyarakat dan agama sudah membebani pundaknya saat dia melangkah masuk ke sekolah. apalah dikira kudrat yang dia mampu, dia berseorangan, mana mungkin dia mampu mengubah masa depan tiga serangkai itu. Tapi, dia pasti, dengan keikhlasan mendidik anak-anak muridnya, pasti ada dalam kalangan mereka yang bakal menjadi peneraju perubahan itu. Biarlah dia cuma sebagai pencetus gagasan kecemerlangan itu. Nampak kecil, tapi fungsinya besar. pokok yag tumbuh merendang dan memberi manfaat untuk berteduh itu juga adalah daripada sekecil-kecil benih baja yang disemai.

“baiklah, hari ni, cikgu nak kamu semua melukis. Temanya bebas. Kamu boleh melukis gambar keluarga kamu, kamu boleh melukis gambar pemandangan atau apa-apa sahaja. Terpulang. Lukisan yang terbaik, cikgu akan pamerkan pada ‘softboard’ di tepi makmal sains tu.”

Murid-murid mula menjalankan arahan yang diterima. Mereka tidak banyak mengadu hari ini. mungkin kerana telah dimarah oleh cikgu Nurain tadi. Cikgu Nurain mundar mandir memerhati gelagat murid-muridnya melukis. Ada yang sudah mewarna, baru melukis dan tak kurang juga yang masih berfikir.

“cikgu, cantik tak lukisan saya?”
Haikal menjaring perhatian cikgu Nurain. Cikgu Nurain mendekati sisi meja Haikal. Diamati lukisan itu hati-hati. Yang ada Cuma lakaran-lakaran biasa. Dia sendiri tidak pasti apa motif lukisan anak muridnya itu. Namun, demi menyedapkan hati si kecil itu, dia mesti menggula-gulakannya dengan pujian. Ya, pujian ialah kaedah peneguhan yang termudah.

“cantik. Cantik sangat. Tapi, Haikal lukis apa sebenarnya ya?”

“Haikal lukis gambar yang paling berharga buat Haikal,” katanya sambil mengheret semula lukisan itu ke kedudukan asalnya untuk meneruskan baki melakar. Cikgu Nurain hanya mengangguk, mengiyakan bicara Haikal, biarpun hatinya diburu tanda Tanya.

“ah,biarkan. Tak mungkin aku nak pamerkan lukisan yang macam tu. Murid lain lebih cantik lukisannya.” Cikgu Nurain sekadar bermonolog. Haikal adalah murid yang paling rapat dengannya. Setiap pagi, Haikal pasti akan menanti dirinya di bilik guru. Kadang-kadang, Haikal sudah menyediakan sesuatu hasil usahanya, sama ada origami, penanda buku atau kata-kata luahannya di atas kertas bergaris. Namun, itu bukan bermakna dia harus pilih kasih terhadap anak-anak didiknya. Siapa yang berbakat dan cemerlang, yang itulah yang akan dipilih.

“baiklah, masa tinggal tiga minit lagi. Boleh berhenti sekarang dan hantarkan semua lukisan kamu di atas meja ini.”

****

Pemilihan telah pun selesai. Cikgu Nurain membawa lukisan-lukisan yang terpilih ke tempat softboard untuk ditampal sebagai pameran terhadap kecemerlangan murid-murid dalam pendidikan seni visual. Cikgu Nurain ditemani Cik Sara, pembantu di pejabat yang mula akrab dengannya sejak pertama kali dia mendaftar sebagai guru sandaran di sekolah itu. Tanpa dia sedar, lukisan Haikal turut dibawa bersama, kerana kertas lukisan Haikal yang agak nipis berbanding yang lain menyebabkan cikgu Nurain tidak sedar ia terselit sama. Cikgu Nurain dan Cik Sara rancak bercerita sambil menampal lukisan-lukisan yang terpilih.

“eh Ain, lukisan Haikal ni nak tampalkan juga ke?” Cik Sara sedikit kaget melihat lukisan Haikal yang baginya tiada nilai estetika itu turut menjadi pilihan cikgu Nurain.

“lukisan Haikal? Eh, tak adalah. Aku tak pilih pun lukisan dia,” cikgu Nurain pantas menangkas. ditariknya lukisan yang dipegang cik Sara dan ketawa kecil sedari terlihat lukisan itu. Tidak disangkanya lukisan itu turut terselit.

“kau pun Sara, agak-agaklah nak Tanya soalan tu. Tak kanlah aku nak pilih lukisan ni, buruklah. Nanti jatuhlah standard aku sebagai guru seni.” Cikgu Nurain dan cik Sara ketawa geli hati.

“lukisan saya buruk sangat ke cikgu?” ada satu suara lirih kedengaran di belakang cikgu Nurain. Hatinya berdebar kencang. Suara itu sangat dicamnya. Suara yang setiap hari memberi salam dan ucapan selamat pagi, bertanya khabar kesihatannya dan yang setia mengaju pertanyaan pertolongan.

“Haikal? Err… apa yang Haikal buat kat sini? Bukan Haikal sepatutnya ada kat kelas? Haikal kenapa… errr.. buat apa kat sini?” cikgu Nurain mula resah. Tidak disangkanya Haikal sudah lama mendengar perbualan mereka. Malah, lukisan Haikal pula yang dikutuk. Allahurabbi. Apa yang aku harus aku buat? Aku telah melukakan hati seorang murid. Bertubi-tubi hatinya memarah diri atas keterlanjurannya.

“kalau lukisan saya buruk, biar saya sahaja yang menyimpannya.” Ada kesan tangis di tubir matanya. Anak kecil itu terus menarik kertas lukisannya dari pegangan cikgu Nurain. Cikgu Nurain masih terkedu dan hanya membiarkan anak kecil itu berlari-lari meninggalkan mereka. Seketika kemudian, loceng berbunyi menandakan waktu pulang sudah mampir. Fahamlah dia kenapa Haikal berada di situ. Memang kebiasaanya, Haikal akan menemuinya terlebih dahulu sebelum berangkat pulang ke rumah. Usai bersalaman, barulah Haikal akan sirna dari pandangannya, sambil mengucapkan “jumpa cikgu lagi esok.”

***

Cikgu Nurain nekad. Biar apapun yang perlu dia lakukan, dia pasti melakukannya. Kemaafan dari Haikal amat didambanya. Semalaman dia tidak dapat tidur hanya kerana memikirkan tentang kanak-kanak kenit, berwajah bulat, dengan badan sedikit berisi, dan berkulit sawo matang itu. Hanya penyesalan yang terus membelit diri. Bihun Goreng masakannya sendiri turut dibawa bersama. Masakan itu kegemaran Haikal, dan biarpun sudah beberapa kali Haikal memintanya memasak masakan ringkas itu, dia tidak mempedulikannya. Tetapi, demi menebus sebuah kesalahan ini, dia bertungkus lumus memasak bihun goreng itu dengan menu yang lebih istimewa. Cikgu Nurain tidak lupa membawa doa-doa pelembut hati agar Haikal sudi memaafkannya.

“Haikal tak datang ke kelas hari ni cikgu,” Mursyid, ketua kelas 3 Sina memberi laporan. Cikgu Nurain tambah risau. Adakah ketidakhadiran Haikal berpunca darinya? Cikgu Nurain benar-benar tidak tenteram hari itu. Enam jam menghuni sekolah hari itu umpama dipenjara. Fikirannya menerawang memikirkan Haikal. Ah, aku tak sepatutnya berkata begitu. Semua lukisan itu ada nilai seninya. Cikgu Nurain sungguh menghargai kekhilafan itu. Dia dapat belajar sesuatu. Mahu mencari rumah Haikal, dia tidak punya peluang itu, dia tidak pernah bertanya di mana rumah Haikal, rakan-rakan Haikal juga tidak tahu di mana rumah Haikal. Mahu bertanya lanjut kepada guru-guru lain, pasti sahaja akan terbongkar kesilapannya. Tentu malu. Akhirnya, dia hanya mendiamkan diri.
Esoknya, dia ke terburu ke kelas 3 Sina selepas merekod kedatangannya di pejabat. Hampa. Haikal masih tidak hadir ke sekolah. resahnya kian membengkak. Hanya doa yang mampu dia panjatkan. Mengharapkan Haikal dalam keadaan baik dan dapat datang ke sekolah lagi.

“cikgu Ain, nanti tolong relief kelas 6 Muslim, boleh? Anak saya tiba-tiba sahaja demam panas, nak kena hantar dia ke hospital sekarang,” cikgu Azmir mengejutkan jaga cikgu Nurain. Dia hanya bisa mengangguk. Sudah maklum, guru sandaran atau guru baru pasti akan menjadi pilihan untuk mengganti kelas.

Langkah longlainya diatur ke kelas 6 Muslim. Kelas ini adalah kelas kedua mengikut hierarki kelas. Murid-muridnya aktif dan sedikit nakal. Perlu lebih tegas terhadap kawalan kelas. Buku doa-doa harian dikeluarkannya. Buku kecil itu adalah bekalan untukknya andai disuruh ‘relief’ kelas. Jadi, dia aka nada sesuatu untuk diberi kepada murid-muridnya. Dia lebih memilih untuk membiarkan murid-muridnya menghafal doa-doa berbanding membiarkan murid-muridnya melakukan tugasan sendiri. Ini kerana mereka akan lebih sukar dikawal. Sekurang-kurangnya, memberikan mereka pengetahuan tentang amalan doa bakal menjadi sahamnya di akhirat nanti jika murid-murid mengamalkannya.

“baiklah, saya nak kamu semua hafal doa ni. Doa ini kamu boleh baca apabila kamu mendengar berita tentang kematian seseorang, sama ada kawan kamu, saudara kamu atau sesiapa sahaja,” ujar cikgu Nurain sambil kapur bewarna itu diletak kembali ke ganggangnya. Sengaja dipilih doa itu kerana murid-murid sudah matang dan perlu tahu doa penting itu, fikirnya. Semua murid mula menghafal doa itu perlahan-lahan. Cikgu Nurain sedar ada seorang murid yang tidak menuruti perintahnya. Diam membatu diri sambil memandangnya tepat. Cikgu Nurain semakin curiga dengan tingkah murid itu. Dia menghampiri murid lelaki itu.

“kenapa tak hafal doa yang saya suruh tadi?”
Soalannya tidak berjawab. Murid-murid lain mula mengalih tumpuan kea rah mereka. Cikgu Nurain merasa tercabar. Dia mula mengarahkan murid itu berdiri. Diam. Murid itu hanya membatu. Mata sepetnya sahaja yang memandang tajam kea rah cikgu Nurain. Cikgu Nurain sempat menyoroti nama murid lelaki itu pada tanda nama yang dijahit di atas lencana sekolah. Halim.

“Halim, awak jangan nak mencabar saya. Depan saya, awak hafal sekrang juga doa kematian ni!” cikgu Nurain mula meninggi suara.

“bukan saya yang perlu hafal doa ni. Tapi cikgu! Cikgu kena hafal doa ni betul-betul supaya cikgu dapat baca pada Haikal nanti!” murid yang bernama Halim itu bertindak agresif. Kerusinya rebah mencium lantai. Mejanya tertolak ke depan dan hampir mengenai peha cikgu Nurain. Buku tulis dan pensilnya jatuh bergelimpangan. Halim terus keluar dan menghilangkan diri. Cikgu Nurain kaget. Ralat dengan situasi yang tidak pernah dijangka itu. Lama dia beristighfar di situ.

“cikgu…cikgu ok?” murid-murid 6 Muslim yang lain mengerumuninya.

“adik Halim sakit cikgu.” Seorang murid memberitahunya tanpa dipinta. Adik Halim sakit? Haikal? Adakah…

“apa nama adik Halim?”

“Haikal cikgu. Haikal Iqbal. Kelas 3S”

“masya-Allah. Boleh cikgu tahu di mana rumah mereka. Cikgu betul-betul kena ke sana.”

“saya tahu cikgu. Saya jiran dia”

***

Petang itu, cikgu Nurain menumpangkan Farid. Dia mahu berjumpa dengan kedua beradik itu. Wan Halim Ikmal dan Wan Haikal Iqbal. Allah, semua yang berlaku begitu pantas. Dia tidak pasti apakah hikmah disebalik semua dugaan yang tertujah dalam hidupnya itu. Namun, yang pasti, dia mahu berjumpa dengan keduanya. Haikal terutama. Enjin kereta dimatikan. Rumah mereka jauh dihujung kampung. Sunyi. Selepas diketuk beberapa kali, barulah pintu tua itu terkuak. Halim!

“buat apa cikgu datang sini? Cikgu nak menyakitkan hati adik saya lagi? Cikgu nak mengutuk kami lagi? Cikgu baliklah. Kami boleh hidup sendiri.” Halim menghambur isi hati. Murid tahun enam itu tampak matang sebelum umurnya. Wajarlah. Pengalaman hidupnya mematangkan dia.

“Halim, tolong benarkan cikgu masuk. Cikgu nak jumpa Haikal. Cikgu nak minta maaf dengannya,” rayu cikgu Nurain meminta belas Halim.

“Halim…..huk..huk… siapa tu? Kenapa tak benarkan masuk?..huk.hukkk” satu suara kedengaran dari dalam. Pasti kakaknya, detik cikgu Nurain. Dia sempat mengorek peribadi keluarga itu dari Farid di sepanjang perjalanan tadi. Akhirnya, cikgu Nurain dibenarkan masuk setelah dibenarkan kakak mereka, Hanisah.

“ adik saya dah lama menghidap sakit barah otak. Tapi, kami hanya mampu membiarkan penyakit itu makin merebak. Kami tak mampu nak membayar biaya kos. Duit yang kami ada,kami gunakan untuk keperluan harian.” Hanisah kakaknya menerangkan hal sebenar kepada cikgu Nurain. Ada nada gentar di situ. Sebak menghadapi reality yang cukup pahit itu. Rupanya, selama ini, mereka bertiga hanya hidup dengan menggunakan duit yang diberi ihsan orang ramai. Bantuan dari pihak sekolah juga mereka dapat. Namun, ia sekadar mencukupi untuk keperluan sahaja. Cikgu Nurain benar-benar terpampan dengan situasi itu. Dia tidak pernah cuba mengenali Haikal, walaupun Haikal sudah terlalu baik dengannya. Padahal, jika dia tahu kondisi Haikal dari awal lagi, pasti Haikal tidak perlu menghadapi saat-saat kritikal seperti sekarang.

“Haikal suka melukis. Setiap hari, dia akan bawa balik lukisan hasil usahanya. Mungkin lukisan dia tidak bermakna untuk orang lain, tapi tidak untuk dia,saya dan Halim. Dia akan melukis harapan-harapannya melalui lukisannya yang pada orang lain mungkin tidak bernilai apa-apa.” Hanisah masih muda. Mungkin baru berusia belasan tahun. Walau tidak dicerna maklumat mengenainya kepad cikgu Nurain, dia tahu, Hanisah pasti sudah berhenti sekolah demi menyara kehidupan keluarga mereka. Saat itu juga, hatinya dicarik pilu. Menyesal kerana pernah memperkecilkan hasil usaha gigih Haikal.

“ cikgu nak dia ke hospital. Cikgu akan biaya semua kos Haikal. Tolong izinkan saya bawa Haikal ke hospital” Dia masih percaya harapan masih menanti. Suaranya yang sedikit membingit menyedarkan Haikal dari tidurnya.

“eh, cikgu Nurain?” Senyuman kelat yang hanya mampu digarisnya. Mendengar suara lirih itu menyebabkan hatinya makin ditembak peluru penyesalan. Air jernih makin deras membasahi pipi mulusnya. Betapa dia merasa berdosa pada insan yang sedang terbaring lemah di hadapannya ini.

“ Haikal, maafkan cikgu. Cikgu bersalah. Cikgu tak bermaksud nak berkata begitu. Maafkan cikgu nak.”

“cikgu jangan tinggalkan saya ya. Ibu dan ayah dah tinggalkan saya. Saya Cuma ada abang dan Tok Mak. Kakak saya pun dah tinggalkan saya. Dulu, kakak selalu puji lukisan saya cantik. Kenapa cikgu tak boleh puji lukisan saya macam kakak saya puji saya?” suara Haikal tenggelam timbul, namun masih cukup jelas pada cuping telinga cikgu Nurain.

“kakak suruh saya lukis harapan-harapan saya pada kertas lukisan, sebab saya suka melukis.”

Cikgu Nurain menahan sendu yang makin mengasak. Badannya terhinjut-hinjut.

“maafkan cikgu Haikal. Maafkan cikgu”

“taka pa. saya tak marahkan cikgu pun. Saya Cuma nak cikgu simpankan lukisan-lukisan saya, boleh? Kakak dah tak ada, kalau tak, mesti kakak yang akan simpankan. Tapi, saya minta maaf, lukisan saya tak cantik macam orang lain”
Rupanya selama ini, Haikal menganggap kehadiran dirinya umpama mengembalikan kakaknya yang sudah dua tahun meninggal dunia dalam satu kecelakaan jalan raya. Ibu dan ayahnya juga meninggal dalam kejadian yang sama. Betapa hebat dugaan yang Allah sediakan buat hamba yang berjiwa besar seperti mereka.

“cikgu, mesti best kan kalau apa yang kita nak,kita dapat….”

Cikgu Nurain hanya mengangguk berseli dengan sedu sedannya. Dia hanya memandang ke lantai. Tidak sanggup untuknya menatapi wajah lemah si kecil itu. Lama dia menanti Haikal menyambung bicara. Rasa tidak enak mula bertamu. Kepalanya dilangut. Mata Haikal sudah terkejam rapat. Cikgu Nurain kaget. Denyutan nadi Haikal dicari. Tiada.

“Haikalllllll…..Allahu akbar! Halim, Haikal dah tak ada.”

“Innalillahi wa inna ilaihi rojiun”

****

“ cikgu, anak angkat cikgu tu bila nak balik Malaysia?” Puan Maria, guru besar SKPP, Perlis, membasa-basi apabila bertembung di balkoni sekolah.

“ oh, maksud cikgu Halim? Insyaallah, dalam dua minggu lagi.” Senyum cikgu Nurain makin melebar apabila Puan Maria mengucap tahniah buatnya. Namun baginya, terima kasih buat Allah kerana memperkenalkannya dengan Haikal. Kini, impian-impian dan angan-angan Haikal yang munasabah sudah banyak dilunasinya dengan izin Allah. Lukisan-lukisan Haikal akan diamatinya sentiasa.

“Haikal, memang best kalau semua yang kita nak, kita dapat, tapi lebih best kalau semua yang kita nak kita tak dapat. Sebab itulah pengalaman. Dan, cikgu belajar pengalaman berharga dari kamu.”